KUALA LUMPUR, 17 MEI – Jumlah kes penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) di negara ini meningkat pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 31,661 kes dilaporkan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata sebanyak 7,526 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 yang berakhir pada 14 Mei yang menunjukkan peningkatan sebanyak 349 peratus, berbanding ME sebelumnya dengan hanya 1,676 kes di seluruh negara.
“Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika, taska atau prasekolah iaitu 575 wabak atau 65 peratus daripada kes keseluruhan, diikuti oleh rumah persendirian dengan 305 wabak (34 peratus) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 27 wabak (tiga peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selangor menyumbang jumlah kes terbesar HFMD dengan 8,864 kes iaitu 28 peratus daripada keseluruhan, diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya – 4,421 kes (14 peratus), Sabah – 2,650 kes (8 peratus), Perak – 2,638 kes (8 peratus) dan Kelantan – 2,493 kes (7.9 peratus), sementara negeri-negeri lain melaporkan kurang daripada 1,500 kes.
Beliau berkata sebanyak 889 wabak dilaporkan di Malaysia iaitu tiga negeri tertinggi ialah Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 309 wabak (35 peratus), diikuti Selangor dengan 111 wabak (12 peratus) dan Perak 105 wabak (12 peratus).
Dr Noor Hisham berkata kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 29,781 kes (94 peratus), diikuti kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun iaitu 1,473 kes.
Wabak dikira apabila terdapat dua atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi. – Bernama