Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Kes HFMD terkawal

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Jumlah kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) yang dilaporkan di negara ini di antara 1 Januari hingga kelmarin, 12 Mei berada di tahap yang rendah iaitu sebanyak 14 kes.

    “Daripada jumlah tersebut, lima kes adalah kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah,” jelas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku wakil menteri kesihatan semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Pengumuman itu dimaklumkan setelah Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam mendapati peningkatan jumlah kes HFMD di negara jiran sejak awal tahun ini.

    Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan dalam siaran akhbarnya, menasihatkan orang ramai terutamanya mereka yang telah membawa anak-anak pergi bercuti ke luar negara dengan musim persekolahan yang akan bermula esok, untuk mengambil langkah-langkah kewaspadaan, pencegahan dan mengurangkan risiko jangkitan.

    Antara langkah tersebut ialah sentiasa menjaga kebersihan diri seperti mencuci tangan dengan cecair pembersih tangan atau sabun dengan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum makan atau menyediakan makanan, selepas menukar lampin atau melakukan apa jua jenis pekerjaan rumah.

    Orang ramai juga perlu sentiasa menjaga kebersihan persekitaran sama ada di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak atau sekolah, tidak menghantar kanak-kanak yang dijangkiti HFMD ke sekolah bagi mencegah jangkitan kepada kanak-kanak lain.

    Mereka juga dinasihatkan untuk tidak dibawa ke tempat-tempat awam, seperti pasar raya, kompleks membeli-belah, taman permainan, kolam renang dan lain-lain.

    Selain itu, kerap membersihkan dan menyahkumankan (disinfect) permukaan yang tercemar termasuk alat permainan, jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, sudu dan garpu.

    HFMD merupakan salah satu jangkitan yang biasa dihidap oleh kanak-kanak, terutama sekali mereka yang berumur di bawah lima tahun.

    Antara tanda penyakit termasuklah demam panas, kurang nafsu makan, merasa tidak sihat, ruam kulit dan sakit tekak. Luka-luka dan ulser dalam mulut juga kerap dialami iaitu pada lidah, gusi dan bahagian dalam pipi.

    Jangkitan tersebut adalah disebabkan oleh beberapa jenis virus yang boleh merebak daripada seorang ke seorang melalui sentuhan tangan atau menyentuh permukaan yang dicemari virus berkenaan.

    Anak-anak damit mempunyai risiko yang lebih tinggi dijangkiti di mana boleh mengakibatkan komplikasi yang serius seperti penyakit radang otak (encephalitis) dan dehidrasi.

    Kementerian Kesihatan juga menasihatkan kepada ibu bapa dan penjaga untuk membawa anak-anak mereka dengan segera ke pusat-pusat kesihatan dan hospital-hospital yang berhampiran jika terdapat tanda-tanda HFMD.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...