Kes HIV, AIDS meningkat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Negara Brunei Darussalam mencatatkan sejumlah 278 kes HIV semenjak ia mula membuat pengiraan sehingga tahun 2019, dengan seramai 59 orang meninggal dunia akibat penyakit berkaitan AIDS, 219 pula diketahui hidup dengan HIV di negara ini dan empat kes penularan ibu kepada anak semenjak tahun 1995.

Perkara itu antara yang diutarakan oleh Presiden BDAIDSCouncil, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad ketika berucap pada Mesyuarat Agung ke-9 BDAIDSCouncil di Eat Well Co, Jerudong hari ini.

Menurutnya lagi, semenjak dua tahun lalu, banyak yang telah dicapai oleh BDAIDSCouncil termasuklah penandatanganan kerjasama Program Kesedaran HIV untuk Rakan dan Belia (HAPPY) dengan Pusat Promosi Kesihatan untuk menjalankan program di institusi pendidikan.

“Program Latihan Kemahiran Hidup (LESTARI) kita dengan sudah mencapai lebih daripada 850 graduan dan alumni, telah menjalankan tiga lagi LESTARI dari 2017-2019.

“Kelab Penyinar di bawah Jawatankuasa Penyinar sentiasa menjadi tulang belakang kuat Majlis AIDS telah menganjurkan program mereka sendiri, contohnya mengambil bahagian dalam Hari Belia Kebangsaan, acara-acara belia, aktiviti keagamaan, menganjurkan Hari AIDS Sedunia bersama forum-forum, seminar dan acara-acara pengumpulan dana, dan akan datang, Latihan Kerja Kumpulan dan Kepimpinan Belia (TTYL). Beliau juga berkata bahawa agensi kerajaan yang menyokong mereka antaranya Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Pendidikan sentiasa menyokong inisiatif mereka untuk menjangkau masyarakat mengenai HIV dan AIDS dan mereka berharap dapat melihat lebih banyak agensi kerajaan yang boleh be-kerjasama dengan BDAIDSCouncil.

“Dengan input daripada ahli-ahli jawatankuasa eksekutif, saya percaya sudah tiba masanya untuk Majlis AIDS untuk mempunyai Rancangan Strategik sendiri untuk membimbing Majlis ini ke hadapan dalam usaha untuk menyokong, mendidik dan memperkasa untuk beberapa tahun akan datang,” tekan Yang Berhormat di hujung ucapannya.

Pada mesyuarat itu, Jawatankuasa Eksekutif 2017-2019 dibubarkan, selepas itu pelantikan baharu Jawatankuasa Eksekutif sesi 2020-2021 diadakan.

Antara mereka yang dilantik ialah Yang Berhormat Awang Iswandy selaku yang di-pertua, Awang Mohamad Hazrin bin Daud selaku naib yang di-pertua I (Pentadbiran), Dayang Liyana Imani binti Abdul Latif selaku naib yang di-pertua II (Program), Awang Norul Alhakim bin Awang Pandin selaku setiausaha I (Pentadbiran), Dayang Masuria binti Haji Damit selaku setiausaha II (Program), Dayang Nurul Adilah binti Mahmud selaku setiausaha perhubungan dan media dan Mohd Andy Tan bin Abdullah @ Tan Yung Peng selaku bendahari.

Yang berhormat Awang Iswandy semasa berucap pada mesyuarat agung BDAIDSCouncil.