Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Seorang ibu warga tempatan yang mengaku tidak bersalah mendera anak lelakinya ber-usia enam tahun dengan menggunakan puntung rokok akan dibicarakan pada Ogos 2017 di Mahkamah Perantaraan.
Hakim Ramzidah binti Pehin Kolonel (B) Haji Abdul Rahman menetapkan perbicaraan itu ke atas ibu berusia 34 tahun yang didakwa mencederakan anaknya di Flat Kesihatan Kiarong antara 1 hingga 18 Mac 2017.
Akibat kecederaan itu, anaknya telah mengalami lima kesan luka pada kakinya akibat dicucuh puntung rokok.
Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-kanak di bawah Seksyen 28(1)(a) dan dihukum di bawah Seksyen 28(1) Akta Orang Muda dan Kanak-kanak (Penggal 219).
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi $20,000, penjara untuk tempoh yang tidak melebihi dari 10 tahun, berserta atau tanpa sebatan yang tidak melebihi daripada 10 sebat, atau kedua-duanya. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Shamshuddin bin Haji Kamaluddin.