Kes jangkitan baharu di Malaysia kekal dua digit

PUTRAJAYA, 7 JUN – Jumlah jangkitan kes baharu positif COVID-19 yang dilapor hari ini masih kekal dua digit iaitu 19 kes dan tiada kematian dilaporkan.

Dengan sifar kematian dicatatkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian wabak berkenaan kekal 117 kes atau 1.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, enam kes adalah kes import dan 13 kes lagi adalah penularan di dalam negara.

“Bagi penularan dalam negara itu, dua kes adalah bukan warganegara dan 11 kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,322 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,531 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 39 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 6,674 kes atau 80.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – Bernama