Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Sebanyak 15 kes yang telah disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam kategori 4, memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi, manakala sembilan kes dalam kategori 5, memerlukan bantuan mesin pernafasan dan sedang dirawat di unit rawatan intensif.
Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, jumlah kes dalam kategori 4 dan kategori 5 pada ketika ini ialah 9.2 peratus daripada keupayaan rawatan dalam kategori berkenaan di Pusat Pengasingan Kebangsaan.
Beliau mengongsikannya semasa sidang media yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa sebanyak 2,914 kes baharu telah dilaporkan pada hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 106,936 orang.
Daripada jumlah kes baharu itu, 2,535 adalah hasil ujian pantas antigen (ART) yang telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth manakala 379 adalah hasil 3,502 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu. Sementara itu, 4,683 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di negara ini kepada 68,764 kes dengan 38,014 kes aktif.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan bahawa pada masa ini, kadar pengisian katil di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 8.6 peratus.
“Dalam pada itu, 272 kes aktif sedang menerima rawatan di pusat-pusat pengasingan dan hospital-hospital, manakala seramai 37,742 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah,” tambahnya.
Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa bagi mereka yang menerima tiga dos vaksin ialah 57.9 peratus dari keseluruhan penduduk di negara ini manakala kadar satu dos dan dua dos adalah masing-masing melebihi 94 peratus.
Manakala itu, bagi sekatan pergerakan Operasi Peralihan yang dijalankan dari 12 malam hingga 4 pagi tadi, Yang Berhormat Dato berkata bahawa tidak ada pelanggaran arahan telah dikeluarkan denda kompaun di seluruh negara.
Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai untuk memohon ke hadrat Allah SWT semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada segala mara bahaya, semoga semua rakyat dan penduduknya diberikan kesihatan, dipermudahkan segala urusan dan dijauhkan daripada segala penyakit khususnya penyakit COVID.