Kes jangkitan COVID-19 di Rusia lebih 165,000

MOSCOW, 6 MEI – Rusia merekodkan lebih 10,000 kes koronavirus baharu dalam empat hari berturut-turut hari ini, mengatasi Jerman dengan menjadi negara keenam tertinggi mengesahkan jangkitan itu.

Rusia muncul sebagai tumpuan baharu virus dan beberapa hari kebelakangan telah mencatatkan jumlah tertinggi jangkitan baharu di Eropah.

Para pegawai kesihatan hari ini melaporkan 10,559 kes baharu dalam tempoh 24 jam, membawa jumlah kes jangkitan yang disahkan kepada 165,929, dengan 1,537 kematian.

Peningkatan itu membawa Rusia ke tangga kelima di Eropah, selepas Sepanyol, Itali, Britain dan Perancis.

Jumlah jangkitan di Rusia telah meningkat lebih 10,000 sehari sejak Ahad, berbanding negara-negara lain di barat Eropah yang mengambil langkah untuk melonggarkan langkah perintah berkurung selepas kadar kes baharu dan jumlah kematian mereka menurun. – AFP