Kes jangkitan COVID-19 Jerman meningkat

BERLIN, 22 OKT – Menteri kesihatan Jerman berkata hari ini negara tersebut menyaksikan peningkatan dalam kes jangkitan koronavirus dan memberi amaran situasi mungkin bertambah buruk menjelang musim sejuk.

“Dengan peningkatan jumlah jangkitan kami menyaksikan lonjakan situasi,” jurucakap kementerian kesihatan, Oliver Ewald memberitahu wartawan di Berlin. Kebimbangan bermula sehari selepas Institut Kesihatan Robert Koch (RKI) Jerman dalam laporan mingguannya menyatakan kadar jangkitan koronavirus dalam masa tujuh hari meningkat sejak penghujung September.

Trend yang semakin melonjak ‘menjadi lebih ketara dalam segenap lapisan umur pada tempoh beberapa minggu kebelakangan dan diramal akan meningkatkan jumlah kes menjelang musim luruh dan sejuk,” kata Ewald. Jerman merekodkan 19,572 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam hari ini, menurut RKI, meningkat 70 peratus pada minggu sebelumnya.

Angka dicatat hari ini adalah yang tertinggi sejak awal Mei, apabila penduduk Jerman tidak ramai yang mendapatkan vaksin. Kadar peningkatan melonjak 95.1 jangkitan baharu per 100,000 orang dalam masa tujuh hari, juga yang tertinggi sejak Mei. Kementerian kesihatan berkata peningkatan kes masih belum menyebabkan ‘peningkatan dinamik’ bagi pesakit COVID-19 yang memerlukan rawatan rapi.

Pemimpin-pemimpin Jerman dari 16 buah negeri akan mengadakan pertemuan untuk membincangkan langkah seterusnya dalam usaha memerangi pandemik, dan dijangka untuk mengekalkan sebahagian besar langkah yang dilaksanakan ketika ini.

RKI dalam laporannya menyeru penduduk, termasuk mereka yang sudah mendapatkan vaksin lengkap atau pulih daripada COVID-19, untuk terus mematuhi saranan dan garis panduan kesihatan termasuk memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mencuci tangan. – AFP