Kes jangkitan COVID kebanyakan dikesan dalam negara

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Pada masa ini, kebanyakan kes jangkitan COVID yang dicatatkan adalah kes dari dalam negara, manakala kes import hanya dalam lingkungan 1 hingga 3 peratus sahaja.

“Misalnya pada hari ini, kita mendapati kes positif COVID baharu sebanyak 379, yang mana kes positif dari luar negara hanya ada tujuh daripada jumlah tersebut iaitu kira-kira kurang 3 peratus.”

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar berkata sedemikian bagi menjawab persoalan mengenai trend jangkitan setelah sekatan perjalanan udara dilonggarkan pada masa ini, semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut merakamkan kesyukuran apabila menyaksikan orang ramai di negara ini masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) meliputi yang tiba ke negara ini dan ia memudahkan pihak kementerian untuk melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa.

Di samping itu, beliau turut berkongsi bahawa ujian RT-PCR secara rambang amat digalakkan dan bukanlah satu kemestian namun jika orang ramai yang menerima panggilan daripada pihak kementerian maka mereka dialu-alukan untuk tampil melakukan ujian tersebut.

“Ini sebagai salah satu kaedah untuk mengawasi jenis varian yang ada terutama bagi SARS-CoV2 yang berada di negara ini,” ujarnya lanjut.