Kes jangkitan di Singapura, Indonesia melebihi 41,000

SINGAPURA/INDONESIA, 17 JUN – Singapura mengesahkan tambahan 247 kes jangkitan COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan kini pada 41,216 kes.

Dalam kenyataannya hari ini, Kementerian Kesihatan republik itu berkata majoriti kes baharu tersebut melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama dengan hanya lima jangkitan dalam komuniti, membabitkan dua rakyat tempatan atau pemastautin tetap dan tiga pemegang pas kerja.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat kelmarin, Singapura mengklasi-fikasikan 1,801 kes sebagai jangkitan dalam komuniti, 581 kes import dan 38,587 melibatkan pekerja asing di asrama.

Menurut kementerian itu, terdapat 269 kes yang disahkan di hospital setakat semalam dengan dua dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi. Selain itu, seramai 9,511 orang yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan diberi rawatan di fasiliti komuniti. Setakat ini Singapura merekodkan 26 kematian akibat COVID-19.

Sementara itu, di Indonesia, kes positif COVID-19 terus meningkat melepasi angka 41,000 dengan angka kematian kini berjumlah 2,276 orang.

Menurut jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 1,031 tambahan kes positif baharu di seluruh Indonesia dilaporkan dengan 45 lagi kematian berlaku.

“Kes positif kini berjumlah 41,431 manakala sebanyak 13,279 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19,” katanya dalam sidang media harian yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional

Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia. Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 651 kes, diikuti provinsi Jakarta (563 kes), Jawa Barat (169), Kalimantan Selatan (141) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia. – Bernama