Kes jangkitan kekal 145

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Kementerian Kesihatan memaklumkan tiada kes jangkitan COVID-19 baharu dicatatkan, di mana setakat jam 12 tengah hari, keseluruhan kes COVID-19 kekal seramai 145 orang, dan terdapat satu kes yang masih aktif.

Sementara itu, seramai 396 orang kini sedang menjalani pengasingan diri mandatori, di mana sejumlah 5,560 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Pengemaskinian status tersebut telah dikongsikan melalui Siaran Akhbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam hari ini. Jelas kenyataan itu lagi, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 274 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 54,630 ujian.

Kementerian Kesihatan juga memaklumkan kepada orang ramai yang ingin mendapatkan ujian saringan SARS-COV-2 (ujian swab) terutama sekali mereka yang ingin membuat perjalanan keluar negeri, mereka hendaklah menjalankan ujian saringan SARS-COV-2 sekurang-kurangnya tiga ke lima hari sebelum tarikh penerbangan mereka – tertakluk kepada syarat-syarat negara yang akan dituju.

Hasil bagi ujian berkenaan akan mengambil masa dan mereka yang membuat ujian tersebut dinasihatkan untuk bersabar bagi mendapatkan keputusan ujian mereka.

Orang ramai yang ingin mendapatkan ujian tersebut bagi perjalanan keluar negeri boleh mendapatkannya di lokasi dan waktu tertentu. Di Pusat Kesihatan Berakas, hari beroperasi ialah setiap hari, pada hari Isnin hingga Khamis dan Sabtu, dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 hingga 4 petang; dan setiap hari Jumaat, Ahad serta hari-hari kelepasan awam pada jam 2 hingga 5:30 petang.

Di Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) juga beroperasi setiap hari (tutup pada hari kelepasan awam), dari jam 7 pagi hingga 10 malam. Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.