Kes jangkitan lepasi 8 juta di India

NEW DELHI, 29 OKT – India terus bergelut dengan penularan wabak COVID-19 apabila mencatatkan jumlah jangkitan melepasi lapan juta kes hari ini.

Pada masa sama, India yang muncul negara kedua paling teruk terkesan di dunia dengan pandemik itu, terpaksa bersiap siaga menghadapi gelombang baharu virus berkenaan.

India sudah melaporkan sejumlah 8,040,203 jangkitan dengan 120,527 kematian di seluruh negara ini yang mempunyai penduduk berjumlah 1.3 bilion.

Pihak berkuasa kini bersiap sedia menghadapi gelombang baharu COVID-19 selepas sambutan Diwali pada 14 November depan dan bermulanya musim sejuk.

Semalam, New Delhi merekodkan 5,000 kes baharu yang juga angka harian tertinggi sejak dilanda pandemik itu.

Pihak berkuasa memberi amaran bahawa ibu negara ini boleh mencatat hingga lebih 10,000 kes sehari dalam gelombang seterusnya.

Bandar paling teruk terkesan di India, Mumbai yang melaporkan sejumlah lebih 250,000 kes dan 10,000 kematian kini pula berdepan kira-kira 2,000 jangkitan baharu sehari. – AFP

Seorang pekerja kesihatan memeriksa sampel ‘swab’ yang diambil daripada seorang penduduk untuk ujian koronavirus di Srinagar kelmarin. – AFP