Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Pihak mahkamah dalam kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan mana-mana pihak yang mempunyai kes-kes sivil, termasuk perjumpaan pemiutang bagi kes kebankrapan, kes waris, mediasi, kes tuntutan tribunal kecil yang dijadualkan untuk didengar antara 14 Mac dan 31 Mac ini adalah ditangguhkan kecuali pihak mahkamah mengarahkan sebaliknya.
Sementara itu, perbicaraan bagi kes-kes jenayah adalah diteruskan seperti biasa kecuali pihak mahkamah mengarahkan sebaliknya.
Manakala, bagi pendaftaran perkahwinan sivil, ia juga akan diteruskan seperti yang telah dijadualkan tetapi hanya pasangan dan saksi sahaja di-benarkan masuk ke dalam bilik mahkamah.
Sehubungan dengan itu, para pengunjung mahkamah juga dinasihatkan untuk mendaftarkan nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan e-mel mereka dengan betul dan tepat ke dalam buku daftar di meja pendaftaran.
Langkah-langkah itu adalah usaha pihak mahkamah dalam membendung penularan jangkitan koronavirus (COVID-19) dan juga menjaga keselamatan serta kesejahteraan pegawai dan kakitangan mahkamah khasnya dan juga orang awam.
Pengunjung yang tidak mempunyai sebarang urusan tertentu dinasihatkan untuk tidak hadir ke mahkamah.
Mana-mana pengunjung yang mempunyai urusan sedang mengalami mahupun menunjukkan simptom selesema, batuk dan demam adalah dinasihatkan untuk menghubungi terus pihak mahkamah di talian 2235842 jika melibatkan kes jenayah dan sivil, kebankrapan (2243939 sambungan 155) dan kes waris (2235841).
Manakala itu, Mahkamah Majistret BSB boleh dihubungi di talian 2232979, Tutong (4220503), Kuala Belait (3330385 dan 3331585) dan Temburong (5221019) dengan menyatakan nombor kes, tarikh perbicaraan dan diminta meninggalkan nombor telefon dan e-mel untuk memudahkan pihak mahkamah menghubungi semula.