Kes kecurian di Pusat Pengasingan Kebangsaan dalam siasatan

Oleh Hakim Hayat

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Kes kecurian barangan peribadi seorang pesakit COVID-19 yang sembuh di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC), Tutong telah diserahkan kepada pihak polis.

Perkara tersebut sedang dalam siasatan, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, kelmarin.

Dalam satu post di Instagram pada Jumaat lalu yang disertakan dengan gambar-gambar, salah seorang pesakit yang dibebaskan pada hari berkenaan mendakwa bahawa beberapa barangannya termasuk barangan berharga seperti wang tunai dan elektronik
hilang daripada begnya yang melalui prosedur disinfektan di NIC.

Lelaki berkenaan mendakwa bahawa dokumen-dokumen penting seperti kad pengenalan dan pasport dibuang ke dalam sampah.

Gambar-gambar yang dimuat naik oleh mangsa menunjukkan dompet yang duitnya telah dikosongkan dan dokumen-dokumen dibuang ke dalam tong kuning yang digunakan untuk membuang bahan-bahan berbahaya.

Beliau juga memohon pihak berkaitan untuk mengambil tindakan untuk mengelakkan kejadian berkenaan berulang.

Pasukan Polis Diraja Brunei juga mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian dan berkata bahawa mereka sedang menjalankan siasatan.