Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes keganasan rumah tangga disemak semula

    Oleh Fadley Faisal

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Ketua hakim telah menyemak semula kes yang dibawa ke Mahkamah Tinggi, melibatkan seorang lelaki yang berdepan dakwaan keganasan rumah tangga.

    Mohd Azmil bin Amir dijatuhkan hukuman setahun dan enam bulan penjara berserta satu sebatan setelah dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada 4 April atas empat dakwaan menyerang, menyerang menggunakan senjata berbahaya dan dua intimidasi jenayah yang memburukkan.

    Pada 8 Ogos lalu, majistret merujuk ke Mahkamah Tinggi untuk mempertimbangkan menggunakan kuasa semakannya, kerana Mahkamah Majistret tidak mempunyai kuasa mendengarkan kes intimidasi jenayah yang memburukkan.

    Pendakwa raya yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman mengaku kepada Mahkamah Tinggi akan kegagalan membawa kesalahan intimidasi jenayah yang memburukkan ke mahkamah lebih tinggi.

    Timbalan pendakwa raya juga menghujahkan bahawa hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret adalah dalam lingkungan hukuman bagi dua kesalahan.

    Mengulas mengenai semakan semula kes berkenaan, Ketua Hakim Dato Seri Paduka Steven Chong berkata, hukuman penjara lebih tinggi adalah lebih sesuai.

    “Hukuman keseluruhan yang sesuai sepatutnya tiga tahun penjara, berbanding setahun dan enam bulan,” Ketua Hakim mencadangkan.

    “Bagaimanapun, saya fikir ia adalah tidak adil untuk meningkatkan hukuman kini, dengan memikirkan bahawa defendan telah dijatuhkan hukuman di mahkamah bawah lebih enam bulan yang lalu, dan pihak pendakwaan tidak membuat rayuan terhadap hukuman yang tidak mencukupi itu,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda