Kes kehilangan aktivis Thailand digugurkan

BANGKOK, 27 JAN – Seorang pegawai taman Thailand yang terlibat dalam dakwaan pembunuhan seorang aktivis alam sekitar tidak akan menghadapi pendakwaan kerana bukti yang tidak mencukupi, pejabat Peguam Negara mengumumkan hari ini – satu langkah yang dikutuk oleh kumpulan hak asasi kerana menafikan kesalahan itu.

Pemimpin etnik Karen, Por Cha Lee Rakcharoen – yang dikenali sebagai Billy – hilang pada bulan April 2014 ketika dia memfailkan kes undang-undang yang mendakwa seorang pegawai kerana memusnahkan rumah etnik minoriti di taman kebangsaan Kaeng Krachan.

Ketua Taman Chaiwat Limlikitaksor adalah salah seorang daripada orang terakhir yang melihatnya masih hidup, selepas Billy ditangkap selepas dikatakan mengambil madu secara haram.

Chaiwat menafikan sebarang penglibatan dalam kehilangannya, mendakwa beliau telah membebaskan aktivis etnik itu.

Lima tahun kemudiannya, para penyelam menemui serpihan tengkorak yang disumbatkan dalam sebuah tong minyak di takungan taman pada bulan April, sementara cebisan tulang pula ditemui di sekitar tasik.

Gambar fail pada 16 September 2019 menunjukkan Pinnapha Phrueksapan, balu kepada Por Cha Lee Rakcharoen berdiri di hadapan potret suaminya di Bangkok. – AFP

Mayat itu dipercayai adalah tubuh Billy berdasarkan pengenalan forensik menggunakan DNA ibunya, kata para pegawai dari Jabatan Siasatan Khas Thailand.

Chaiwat dan tiga pegawai taman yang lain terlibat dalam kes-kes undang-undang yang termasuk tuduhan pembunuhan, penahanan dan rompakan yang dirancang.

Tetapi hari ini, pejabat Peguam Negara mengeluarkan perintah ‘bukan pendakwaan’ terhadap empat defendan atas tuduhan itu kerana ‘bukti yang tidak mencukupi’, kata jurucakap Prayut Petchkhun.

Ujian DNA itu yang dikaitkan dengan serpihan tulang kepada ibu Billy adalah ‘tidak mencukupi’ untuk mengenal pasti mayat itu, katanya.

Pejabat itu hanya akan mendapatkan pendakwaan atas pertuduhan “melakukan atau gagal melakukan tugas yang mengakibatkan ganti rugi kepada se-seorang,” kata Prayut. – AFP