Kes kekal 141 orang, sembuh 138

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Negara Brunei Darussalam tidak mencatatkan sebarang jangkitan baharu COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah kes kekal 141 orang, manakala sembuh juga masih pada jumlah sama, 138 orang.

Hanya satu kes aktif masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan dalam keadaan kritikal serta memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan.

“Marilah kita sama-sama mendoakan semoga Allah SWT memberikan kesihatan yang sepenuhnya kepada beliau. Aamiin Aamiin Ya Rabbal Alamin,” doa Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurutnya lagi, pada masa ini seramai 120 orang sedang menjalani kuarantin, mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, manakala seramai 2,703 orang telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik.

Tambahnya, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 625 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 23,293 ujian.

“Alhamdulillah, berhubung dengan kontak-kontak kes yang didapati positif di Kuala Lumpur, ujian makmal virus SARS-CoV-2 bagi semua kontak kes adalah negatif,” kata Yang Berhormat Dato.

Ketika menyentuh mengenai aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Dato mengongsikan seramai 365,604 ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut. Bagi syarikat dan premis pula sejumlah 6,828 telah mendaftar kepada aplikasi BruHealth.

Manakala, sebanyak 1,902 premis perniagaan telah memuat turun aplikasi PremiseScan yang mana kemudahan ini adalah dikhaskan bagi kegunaan orang ramai yang tidak mempunyai telefon bimbit untuk masuk ke premis berkenaan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.