Kes kematian 39 pendatang, empat dihukum penjara

HANOI, 15 SEPT – Empat individu dihukum penjara di Vietnam kerana terbabit kes kematian 39 pendatang yang ditemui di dalam sebuah trak sejuk beku di Britain pada tahun lalu, lapor media negara ini.

Kematian 31 lelaki dan lapan wanita dari Vietnam yang ditemui di dalam sebuah kenderaan berhampiran London pada Oktober tahun lalu, menyorot risiko besar penghijrahan haram ke Eropah dan mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Akhbar rasmi tempatan melaporkan, empat defendan berusia antara 26 hingga 36 tahun, dihukum penjara antara dua tahun setengah hingga tujuh tahun setengah oleh sebuah mahkamah di wilayah Ha Tinh, semalam.

Menurut laporan itu, mereka didapati bersalah kerana ‘menganjur dan mengatur penghijrahan haram’, manakala tiga lagi tertuduh dijatuhi hukuman yang digantung. – AFP

Gambar yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Vietnam menunjukkan defendan pada perbicaraan berhubung kematian 39 pendatang yang ditemui dalam trak sejuk beku di Britain tahun lalu, di mahkamah wilayah Ha Tinh. – AFP