Kes kematian COVID-19 di Amerika Latin cecah lebih 200,000

PARIS, 2 OGOS – Lebih daripada 200,000 orang telah meninggal dunia akibat COVID-19 di Amerika Latin dan Caribbean, dengan Brazil dan Mexico hampir tiga perempat daripadanya jumlah kematian tersebut, menurut laporan AFP kelmarin.

Kematian berjumlah 200,212 di Amerika Latin dan Caribbean, daripada jumlah keseluruhan 4,919,054 kes yang dilaporkan. Jumlah kematian meningkat dua kali ganda dalam satu bulan.

Amerika Latin adalah wilayah kedua yang paling teruk terjejas dilanda virus itu selepas Eropah, yang mencatatkan 210,425 kematian dan 3,189,322 kes jangkitan.

Amerika Syarikat dan Kanada berada di kedudukan ketiga.

Selepas Brazil dan Mexico, negara-negara yang paling teruk terjejas di Amerika Latin adalah Peru, Colombia dan Chile.

Menurut jumlah jangkitan virus, Peru menduduki tempat teratas di rantau itu, diikuti oleh Chile, Brazil, Mexico dan Panama. Data yang dikumpulkan oleh AFP dari pihak berkuasa nasional dan maklumat dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mungkin hanya mencerminkan sebilangan kecil dari jumlah jangkitan yang sebenarnya. – AFP