Kes kematian COVID-19 meningkat, UAE batal penerbangan ke Iran

DUBAI, 25 FEB – Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari in menggantung semua penerbangan awam dan kargo ke Iran dalam apa yang dikatakan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap penyebaran wabak koronavirus.

Langkah itu dibuat sejurus selepas negara jiran, Kuwait dan Bahrain mengumumkan sembilan kes baharu COVID-19, kesemuanya daripada mereka yang baru pulang dari Iran.

Dalam tempoh dua hari yang lalu, Kuwait, Bahrain dan Oman telah melaporkan 18 kes koronavirus daripada mereka yang kembali dari negara Iran. Ketua Pihak Berkuasa Penerbangan Awam UAE “menggantung semua penerbangan awam dan kargo pergi dan balik dari Iran mulai hari ini dan selama seminggu,” menurut kenyataan agensi berita WAM, sambil menambah bahawa larangan itu mungkin dilanjutkan.

Kementerian Kesihatan Bahrain berkata enam orang telah dijangkiti, dua orang warga Bahrain dan empat lagi wanita Saudi yang baru pulang ke tanah air dari Iran melalui Dubai dan telah diuji positif virus maut itu serta meningkatkan jumlah kes kepada lapan kes.

Sementara itu, Kuwait melaporkan tiga kes baharu, sekarang mereka dikuarantin selepas pulang dari Iran, merupakan kes ke lapan di negara itu.

Oman melaporkan kes koronavirus pertama iaitu dua wanita Oman yang pernah ke Iran.

Ketiga-tiga negara itu mempunyai penduduk Islam Syiah yang sering berkunjung ke Iran untuk melawat makam suci di sana. Republik Islam itu mengumumkan tiga kematian dari virus itu dan jumlah kematian meningkat kepada 15 orang kelmarin.

UAE telah mengumumkan 13 kes koronavirus, semua terdiri dari warga asing, termasuk pasangan warga Iran yang membuat perjalanan ke sana.

Kuwait telah membatalkan sambutan cuti hari kebangsaan pada hari Selasa dan Rabu dan juga membatalkan semua acara sukan untuk menghalang penularan wabak itu. –AFP

Seorang anggota polis dan pejalan kaki memakai topeng untuk membantu mengawal koronavirus, di pusat bandar Tehran, Iran. – AP