Tuesday, August 16, 2022
27.1 C
Brunei

Kes kesalahan memandu lebihi had laju meningkat

-

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Statistik Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), menunjukkan peningkatan kes kesalahan memandu melebihi had iaitu sebanyak 700 kesalahan direkodkan sepanjang 2020 dan sebanyak 1,280 kes sehingga Oktober 2021.

Sehubungan itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berwajib dan agensi-agensi penguatkuasaan bagi memastikan peraturan dan undang-undang dipatuhi seperti menjalankan operasi sekatan jalan raya dengan lebih kerap dan mengkaji semula had-had laju yang telah ditetapkan di jalan raya-jalan raya dengan mengikut trend-trend masakini dan amalan-amalan terbaik di seluruh dunia.

Perkara itu diketengahkan oleh Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dalam kenyataan mengenai Pencapaian dan Inisiatif-inisiatif Keselamatan Jalan Raya 2020/2021 yang dikeluarkan di sini, hari ini.

MKKJR menyatakan lagi bahawa sepanjang 2021, ia telah melaksanakan dan sedang merancang beberapa inisiatif termasuk mengadakan Taklimat Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya yang melibatkan sektor awam dan swasta dengan memfokuskan kepada perangkaan kemalangan, etika pemanduan dan perundangan, melancarkan e-buku panduan Understanding your Vehicle dalam penjagaan dan pemeliharaan kenderaan pada 6 Mac lalu.

Selain itu, MKKJR mengadakan Jerayawara Keselamatan Jalan Raya bersama Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd pada 25 dan 26 Mei, mengadakan forum khas sempena World Day of Remembrance pada bulan ini serta mengadakan Program Kesedaran Keselamatan Kenderaan atau Car Clinics sebagai salah satu usaha menangani isu yang berkaitan dengan kenderaan terbakar yang kerap berlaku kebelakangan ini.

Car Clinics bertujuan untuk memperingatkan dan memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya pemilik kenderaan mengenai penjagaan kenderaan dan isu-isu keselamatan kenderaan.

Di samping itu, MKKJR juga secara berterusan mengadakan acara-acara dan melaksanakan initiatif termasuk sidang media setiap pertengahan tahun untuk merebiu dan memberigakan statistik kemalangan jalan raya dan kepentingan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya di negara ini.

Turut diadakan adalah Tell Everyone Road Safety Outreach Programme yang menyasarkan golongan belia dengan memfokuskan penyampaian mesej utama keselamatan jalan raya, Majlis Solat Sunat Hajat dan Membaca Ratib Al-Attas setiap dua bulan sekali ke arah meningkatkan kesedaran dan juga memohon doa bagi keselamatan pegguna jalan raya dan meningkatkan usaha-usaha memberigakan dan meningkatkan budaya keselamatan jalan raya melalui pelbagai cara, termasuk melalui media massa seperti televisyen dan radio, media sosial, kaunter-kaunter kerajaan dan laman web secara berterusan.

MKKJR juga mengadakan pemberigaan mengenai keselamatan jalan raya melalui khutbah Jumaat serta aktiviti-aktiviti dan program-program bersempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia (WDR) yang merupakan inisiatif antarabangsa untuk memperingati mangsa-mangsa lalu lintas jalan raya yang diadakan setiap November.

Manakala itu, mengambil kira akan perkembangan ke arah transformasi digital di negara ini, satu projek pembangunan pangkalan data secara real-time, Road Accident Data Development and Enhancement (RADED) telah dilaksanakan oleh Center for Transport Research (CfTR), Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang berfungsi untuk meningkatkan analisis data dan statistik lebih mendalam sebagai sokongan dalam menyusun strategi inisiatif keselamatan jalan raya.

- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Iran nafi terbabit serangan Salman Rushdie

TEHRAN, 15 OGOS – Pegawai kerajaan Iran hari ini menafikan Tehran terbabit dalam serangan yang mencederakan penulis kontroversi, Salman Rushdie di Amerika Syarikat (AS)...

China lancar latihan baharu

- Advertisment -