Kes keseluruhan 338 orang, satu kes import baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Negara Brunei Darussalam merekodkan satu kes import baharu setakat jam 12 tengah hari, menjadikan kes keseluruhan kepada 338 orang.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan hari ini, kes 338 merupakan lelaki berusia 44 tahun tiba dari Jakarta pada 18 Julai lalu, penerbangan sama dengan beberapa kes sebelum ini.

Beliau tidak mengalami sebarang simptom dan penyiasatan serta pengesanan kontak mengesahkan tiada kontak terdekat bagi kes itu.

Manakala seorang masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi untuk pemantauan dan selebihnya dalam keadaan baik. Tiada yang sembuh dicatatkan hari ini, menjadikan kes aktif kepada 55 orang.

Negara Brunei mencatatkan jangkitan tempatan terakhir pada 452 hari yang lalu dan kes import sejak itu ialah 197 orang. Sejumlah 580 orang menjalani pengasingan diri mandatori manakala sebanyak 446 sampel koronavirus diuji dalam masa 24 jam lalu.

Bagi kempen vaksinasi pula, seramai 163,999 orang telah menerima dos pertama dan kedua sejak 3 April lalu. Jumlah penerima dos kedua ialah 29,170 orang manakala 134,829 adalah jumlah yang baru menerima dos pertama setakat 31 Julai.

Untuk itu, peratusan penduduk yang telah menerima vaksin ialah sebanyak 29.7 peratus dengan 6.4 peratus menerima dua dos vaksin dan warga emas pula seramai 23,257.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.