Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Maklumat tular yang mendakwa terdapat kes pertama positif koronavirus di Negara Brunei Darussalam yang dihidapi oleh seorang warga tempatan yang pulang dari Republik Rakyat China selepas menyambut Tahun Baharu Cina di negara tersebut, adalah tidak benar.
Kementerian Kesihatan, dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini menekankan bahawa maklumat yang disebarkan melalui Twitter oleh seorang yang bernama ‘Angula’ dan tular di media sosial melalui Twitter, WhatsApp dan Facebook itu disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk tidak merasa cemas dengan penularan maklumat yang tersebar berkenaan kerana setakat ini, tidak ada kes jangkitan koronavirus novel (2019-nCoV) didapati di Negara Brunei Darussalam.
Kementerian Kesihatan juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dan percaya akan maklumat-maklumat dan berita yang disebarkan melalui Internet atau melalui media-media lain seperti WhatsApp, Twitter dan Facebook tanpa memastikan kesahihannya.
Seterusnya, orang ramai juga diperingatkan untuk lebih bertanggungjawab dan tidak turut menyebarluaskan sebarang perkara yang tidak disahkan oleh Kementerian Kesihatan.
Perbuatan menyebarkan maklumat tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka oleh mereka yang semata-mata berniat untuk mengelirukan adalah menjadi kesalahan dan boleh dilaporkan di bawah perundangan Akta Ketenteraman Awam, Penggal 148 Seksyen 34, iaitu sesiapa yang sama ada menggunakan lisan atau tulisan atau menggunakan sebarang cara, menyebarkan laporan yang salah atau membuat kenyataan yang salah, yang menyebabkan ketenteraman awam terganggu boleh di penjara tiga tahun dan denda sebanyak $3,000.
Untuk maklumat lanjut, orang awam boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan di talian 2381380 atau 2381383 atau menghubungi Talian Darussalam 123.




























