Tuesday, April 23, 2024
25.2 C
Brunei

    -

    Kes kumulatif COVID Brunei kini 93,000

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Enam kes yang telah disahkan positif COVID pada masa ini berada dalam kategori 5, yang memerlukan bantuan mesin pernafasan dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, sementara itu, lapan kes dalam kategori 4, yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar turut memaklumkan sebanyak 4,185 kes baharu telah dilaporkan hari ini yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 93,034 orang.

    Daripada jumlah kes baharu tersebut, 3,639 adalah hasil ujian pantas antigen (ART) yang telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth manakala 546 adalah hasil 2,536 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengongsikan perkara itu semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Sementara itu, menurut Yang Berhormat Dato, 3,234 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 53,346 kes dengan 39,541 kes aktif.

    “Pada masa ini, kadar pengisian katil di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 9.1 peratus. Manakala 337 kes aktif sedang menerima rawatan di pusat-pusat pengasingan dan hospital-hospital. Seramai 39,204 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah,” tambah beliau.

    Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan, setakat kelmarin (6 Mac), Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa sebanyak 56.7 peratus penduduk telah menerima tiga dos vaksin manakala kadar satu dos dan dua dos adalah masing-masing melebihi 94 peratus.

    Bagi sekatan pergerakan yang dijalankan dari 12 malam semalam hingga 4 pagi tadi, tidak ada pelanggaran arahan telah dikeluarkan denda kompaun di seluruh negara.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai untuk memohon ke hadrat Allah SWT semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa dipelihara dan dilindungi daripada segala mara bahaya, semoga semua rakyat dan penduduknya diberikan kesihatan, dipermudahkan segala urusan dan dijauhkan daripada segala penyakit khususnya penyakit COVID.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...