Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Sebanyak 981 kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan hari ini yang menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Negara Brunei Darussalam seramai 20,454 orang.
Daripada kesemua kes jangkitan baharu berkenaan, seramai 979 daripadanya adalah kes tempatan manakala dua lagi merupakan kes import.
Menurut kenyataan dari Kementerian Kesihatan yang diterima, hari ini, jumlah kes baharu itu adalah hasil daripada sebanyak 5,712 ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Dalam kalangan kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, tiada kes dalam kategori 5 (memerlukan bantuan mesin pernafasan dan dirawat di unit rawatan rapi) manakala tiga kes dalam kategori 4 (memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi).
Sebanyak 196 kes telah disahkan sembuh hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di negara ini kepada 16,610 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 3742 kes.
Sementara itu, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 31.9 peratus.
Sehingga kelmarin, 9 Februari, kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin ialah 94.9 peratus, manakala mereka yang menerima dua dos vaksin COVID-19 sebanyak 94.1 peratus dan tiga dos vaksin COVID-19 pula telah mencapai kepada 44.9 peratus.