Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Sebanyak 159 kes baharu jangkitan COVID telah dilaporkan pada hari ini, iaitu 145 kes hasil ujian pantas antigen (ART) dan 14 kes hasil 732 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.
Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam setakat ini ialah 140,182 kes, kongsi Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam kenyataannya pada sidang media jangkitan COVID di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Dato, tidak ada kes yang dikategorikan dalam kategori 5 manakala satu kes sedang dirawat dalam kategori 4,” tambah beliau.
Yang Berhormat Dato seterusnya menjelaskan bahawa sebanyak 290 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 138,693 kes.
“Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 1,271 kes iaitu 44 kes sedang dirawat di hospital manakala 1,227 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Memandangkan semua pusat vaksinasi tidak beroperasi kelmarin, Yang Berhormat Dato berkata statistik terkini program vaksinasi kekal 26.1 peratus bagi kanak-kanak dalam kumpulan umur lima hingga 11 tahun manakala 62.8 peratus rakyat dan penduduk negara ini telah menerima tiga dos vaksin.