Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Kes kumulatif kini 146,044

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Sebanyak 281 dos pertama vaksin COVID-19 telah diberikan kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian vaksin dos pertama kepada 33,117 dos iaitu 77.2 peratus.

    Manakala itu, sebanyak 1,130 dos kedua vaksin juga diberikan kepada golongan tersebut yang membawa jumlah keseluruhan pemberian dos kedua kepada 14,188 dos iaitu 33.1 peratus.

    “Sementara itu, liputan bagi rakyat dan penduduk negara ini yang telah mendapatkan tiga dos vaksin adalah 69.2 peratus,” kongsi Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku wakil menteri kesihatan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, sebanyak 261 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan hari ini, iaitu 259 kes hasil ujian pantas antigen (ART) dan dua kes hasil daripada 305 ujian RT-PCR yang telah dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

    Oleh itu, jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam setakat ini ialah 146,044 kes.

    Yang Berhormat Pehin kemudiannya menjelaskan bahawa tidak ada kes yang dikategorikan dalam kategori 5, yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala satu kes berada dalam kategori 4, yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

    “Sebanyak 437 kes telah disahkan sembuh yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 144,057 kes,” katanya lagi.

    Jumlah kes aktif pula ialah sebanyak 1,766 kes iaitu 13 kes sedang dirawat di hospital manakala 1,753 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

    Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Pehin berdoa semoga Negara Brunei Darussalam sentiasa dilindungi dan dijaga oleh Allah SWT, semoga rakyat dan penduduknya diberikan kesihatan lagi diberkati, dipermudahkan segala urusan dan dijauhkan daripada segala penyakit dan bahaya.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Anie Haryani binti Haji Abdul Rahman semasa sidang media di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...