Kes kumulatif lebih 125,000

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Jumlah kes dalam kategori 4 adalah kekal sebanyak 11 kes, manakala dalam kategori 5 ialah sebanyak lima kes iaitu pengurangan sebanyak dua kes dalam kategori itu, merangkumi 6.2 peratus keupayaan rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengongsikan perkara itu pada sidang media harian COVID di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

“Sebanyak 1,393 kes baharu telah dilaporkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 126,109 kes,” jelas Yang Berhormat Dato. Daripada jumlah itu, 1,215 adalah hasil ujian ART yang telah dimuatnaikkan ke aplikasi BruHealth manakala 178 adalah daripada hasil 1,551 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

Sementara itu, 2,314 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes sembuh kepada 113,654 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 12,262 kes.

“Pada masa ini, kadar pengisian katil di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 5.4 peratus. Dalam pada itu, 195 kes aktif sedang menerima rawatan di pusat-pusat pengasingan dan hospital-hospital, manakala 12,065 kes positif sedang menjalani pengasingan diri di rumah,” tambahnya.

Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin (20 Mac 2022), mereka yang menerima tiga dos vaksin ialah 59.8 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini manakala satu dos dan dua dos masing-masing melebihi 94 peratus.

Manakala bagi sekatan pergerakan dari jam 12 tengah malam semalam hingga 4 pagi tadi, tidak ada pelanggaran arahan telah dikeluarkan denda kompaun di seluruh negara, ujarnya.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bersama Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin pada sidang itu.