Kes kumulatif lebih 2,000

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Sebanyak 176 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam hari ini, membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini kepada 2,159 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan bahawa pada masa ini, masih terdapat 40 kluster aktif di mana tidak ada kluster baharu yang dilaporkan.

“Terdapat 88 tambahan kes baharu kepada 18 kluster aktif yang sedia ada yang membawa kepada jumlah kes di dalam semua kluster yang aktif sebanyak 1,389 kes.

“Kes dalam kluster-kluster aktif ini adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya,” ujar beliau.

Sementara itu, kes selebihnya masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan, tambah beliau semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Petugas AirLab di Bridex menjalankan ujian sampel virus SARS-CoV-2. Sejumlah 3,684 ujian dijalankan di dua buah makmal di negara ini dalam masa 24 jam lalu, menurut kenyataan dari sidang media jangkitan COVID-19 di negara ini. – Gambar oleh Muiz Matdani

Menurut beliau lagi, pengesanan kontak bagi semua kes-kes baharu tersebut masih giat dijalankan dan semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2.

Dalam pada itu, 69 kes telah disahkan sembuh pada hari ini membawa jumlah kes yang sembuh kepada 537 kes. Ini bermakna pada ketika ini, terdapat 1,614 kes aktif di Negara Brunei Darussalam.

“Di kalangan kes-kes aktif tersebut, lima kes adalah dalam keadaan kritikal yang mana empat daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (ventilation) dan satu lagi kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).

“Sementara itu, 30 kes lain juga sedang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi,” kata Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,684 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 212,956 ujian.

Maklumat lanjut bolehlah melayari www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth. Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 juga boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148 atau e-mel kepada [email protected]