Kes kumulatif lebih 5,000

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Kes kumulatif di Negara Brunei Darussalam melepasi aras 5,000 hari apabila 90 lagi kes baharu direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 5,047 orang.

Terdapat pertambahan 23 kes kepada 13 kluster aktif sedia ada yang terdiri daripada mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar) mengongsikan perkara itu pada sidang media jangkitan terkini COVID-19 di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, terdapat empat kluster baharu dikesan terdiri daripada Kluster 4771 yang mengandungi tiga kes baharu, Kluster 4722 yang mengandungi empat kes baharu, Kluster 4785 yang mengandungi tiga kes baharu dan Kluster 4761 yang mengandungi tujuh kes baharu.

Kluster-kluster itu mengandungi kes-kes yang dilaporkan sebagai kes yang belum dikenalpasti sumber jangkitannya. Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa dua kluster iaitu Kluster 1385 dan 1387 telah diisytiharkan tamat kerana tiada sebarang kes lagi dikesan dalam masa 28 hari. Sehubungan itu, jumlah kluster aktif adalah sebanyak 91 kluster.

“Terdapat 50 kes yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitannya,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Beliau turut mengongsikan bahawa 122 kes sembuh, membawa jumlah keseluruhan yang sembuh kepada 3,457 manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,558.

“Dalam kalangan kes-kes aktif itu, sembilan dalam keadaan kritikal yang mana lapan daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation). Manakala satu kes memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO),” jelas Yang Berhormat Dato.

Sementara itu, 24 kes lain yang dikategorikan dalam kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi, katanya.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,938 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 303,291 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.

Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada: askhal@moh.gov.bn.