Kes lelaki aibkan bekas teman wanita ditangguh 9 Julai

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun telah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memuat naik gambar separuh bogel bekas teman wanitanya yang berusia 26 tahun dalam laman media sosial, Instagram.

Bagaimanapun, tidak ada pengakuan diambil daripada Abdul Majid bin Haji Bini atas pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fitri Kiprawi, yang telah menyiarkan gambar-gambar lucah mangsa dalam platform media sosial itu pada 5 Februari dan 4 Julai lalu.

Pihak pendakwaan memaklumkan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid bahawa siasatan lanjut akan dijalankan terhadap kes tersebut. Mahkamah juga memerintahkan tertuduh untuk terus direman dan kes berkenaan ditangguhkan hingga 9 Julai.