Kes lelaki dituduh menipu disebut semula 26 Ogos

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini telah menangguhkan perbicaraan bagi kes seorang lelaki yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan penipuan.

Pengiran Abdul Hadi Hazim bin Pengiran Idrus, 31, didakwa menipu seorang lelaki berusia 21 tahun pada pukul 2 pagi 8 Ogos lalu di sebuah rumah di Jalan Kebangsaan Lama.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Mu’izzah binti Haji Sabli dalam pendakwaannya menyatakan bahawa tertuduh telah menipu mangsa bahawa seorang gadis bernama “Amal” ada di rumah dan sedia untuk perkhidmatan seksual, sebagai balasan untuk mangsa menyerahkan telefon bimbit kepadanya.

Pertuduhan tersebut membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu akan menetapkan tarikh 26 Ogos bagi sebutan semula kes.