Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Mahkamah Majistret hari ini telah menetapkan perbicaraan pada Mei bagi kes melibatkan seorang anggota beruniform yang telah menafikan pertuduhan menipu dalam pelaburan dan pengubahan wang haram.
Mohamad Azri Al Azhar Edham bin Khalid, 29, awal bulan lalu menafikan sembilan pertuduhan menipu dan tiga pengubahan wang haram.
Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Abdul Latiff mendakwa dia menipu dua mangsa untuk memberikan wang berjumlah $1,300 bagi tawaran skim pelaburan yang tidak spesifik.
Tertuduh juga dikatakan menipu seorang lagi mangsa berjumlah $30,400 dengan alasan akan melabur wang itu dalam dagangan Forex.
Menurut mangsa, kejadian berlaku pada Jun 2018 apabila tertuduh menjanjikan pulangan bulanan sejak itu bagi setiap perjanjian yang dibuatnya dengan mangsa.
Tertuduh telah memindahkan sejumlah $15,860 wang itu ke dalam bank isterinya dalam tiga transaksi pada Jun 2018.
Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana memerintahkan kes didengarkan pada 16 sehingga 21 Mei ini dan melanjutkan ikat jamin defendan. Walau bagaimanapun, dia diperintahkan ditahan reman kerana tidak berjaya mendapatkan seorang penjamin.
Jika sabit kesalahan, tertuduh akan dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda bagi dakwaan menipu manakala tuduhan di bawah Perintah Pemulihan Aset Jenayah masing-masing membawa denda sekurang-kurangnya $500,000 dan penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya.