Kes lesapkan barang kemas daripada mayat ditangguhkan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini telah menangguhkan kes melibatkan seorang lelaki tempatan berkaitan penemuan mayat baru-baru ini, bagi memberi laluan kepada siasatan lanjut dijalankan.

Pertuduhan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raihan Nabilah binti Haji Ahmad Ghazali terhadap Mohammad Rafi Ezamdie bin Muhammad Daud, 30, menyatakan bahawa tertuduh telah melesapkan seutas rantai emas, gelang emas dan sebentuk cincin emas daripada mayat wanita berusia 43 tahun di dalam kereta yang diletakkan di tepi Jalan Mumong, Kuala Balai, Daerah Belait, pada pukul 3:30 petang, 7 Ogos lalu.

Majistret Kanan Hajah Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan 13 September untuk sebutan semula kes.

Pertuduhan berkenaan membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun berserta denda dan jika defendan bekerja dengan mangsa, tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun.