Kes McKee: New IRA mengaku

LONDON, 23 April – Kumpulan penentang republikan, New IRA hari ini mengaku bertanggungjawab membunuh wartawan Ireland Utara, Lyra McKee minggu lalu ketika menurut polis mereka telah memberkas seorang wanita berusia 57 tahun dalam kaitan penembakan itu.

New IRA ‘menyampaikan permohonan maaf yang benar-benar ikhlas’ kepada pasangan, keluarga dan rakan-rakan Lyra McKee di atas kematiannya,” menurutnya dalam satu kenyataan kepada Irish News.

Akhbar itu melaporkan bahawa kumpulan paramilitari telah menggunakan perkataan kod yang dikenali – kaedah perhubungan yang telah digunakan ketika konflik sektarian berdekad-dekad lamanya di Ireland Utara dikenali sebagai ‘The Troubles’.

McKee 29 tahun ditembak di bahagian kepalanya lewat Khamis lalu apabila kumpulan republikan penentang bertempur dengan pihak polis di estet perumahan Creggan di bandar kedua Ireland Utara, Londonderry, juga dikenali sebagai Derry.

Polis Ireland Utara hari ini mengatakan bahawa wanita berusia 57 tahun itu telah ditahan di bawah Akta Pengganasan berkaitan pembunuhan itu.

Gambar fail 20 Januari 2019 menunjukkan tempat berlakunya letupan bom kereta di Derry, Ireland Utara dan jurnalis Lyra McKee ditembak di Londondery. – AFP

Dua orang lelaki berusia 18 dan 19 juga ditahan sebelumnya dalam siasatan telah dibebaskan tanpa didakwa.

Penghargaan untuk McKee yang juga seorang penulis, didahului oleh pasangannya, Sara Canning yang mengatakan ‘potensinya yang mengagumkan telah dipadamkan oleh satu tindakan kejam’.

Sementara mengaku bertanggung jawab, New IRA cuba mewajarkan tindakannya dengan mendakwa dia terbunuh ketika serangan ke atas ‘pasukan musuh’ dan menuduh polis mencetuskan rusuhan sebelum kematiannya.

“Dalam laluan menyerang musuh, Lyra McKee terbunuh dengan tragis ketika berdiri di sebelah pasukan musuh,” menurut kenyataan itu lagi.

“Pada malam Khamis ekoran serangan mendadak ke atas Creggan oleh pasukan mahkota Britain yang lengkap bersenjata yang mencetuskan rusuhan, IRA telah menghantar sukarelawan untuk bertempur,” menurut kenyataan New IRA, lapor The Irish News.

Selepas kematian McKee, enam parti politik utama Ireland Utara, termasuklah kumpulan kesatuan dan republikan yang bertikai, yang tidak dapat membentuk kerajaan yang telah dijatuhkan selama lebih dua tahun – telah mengeluarkan kenyataan bersama yang luar biasa. – AFP