Monday, January 13, 2025
33.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes melonjak, kehadiran peminat Olimpik ditangguh

    TOKYO, 21 APRIL – Penganjur Sukan Olimpik Tokyo mungkin menangguhkan pengumuman mengenai berapa ramai peminat yang dapat hadir pada bulan Jun nanti, lapor media setempat hari ini, berikutan dengan jangkitan koronavirus yang semakin meningkat menyebabkan ia semakin sukar.

    Penganjur telah melarang peminat dari luar negara hadir menyaksikan Olimpik yang ditangguhkan itu akibat wabak tersebut dan diharapkan akan mengumumkan had penonton domestik pada bulan April ini.

    Tetapi laporan Jepun mengatakan keputusan itu mungkin dikeluarkan pada bulan Jun, mungkin hanya sebulan sebelum temasya dibuka pada 23 Julai. Langkah itu akan menunda penjualan tiket, yang ditangguhkan ketika Olimpik ditunda tahun lalu.

    Jawatankuasa penganjur mengatakan masa diperlukan untuk membuat keputusan tetap ‘fleksibel’ ketika situasi koronavirus melonjak.

    “Kami tetap dalam perbincangan dengan IOC dan IPC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa dan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa) dan berhasrat mencapai kata sepakat mengenai arah yang harus diambil,” tambah kenyataan Tokyo 2020.

    Atlet juga mungkin menjalani ujian virus setiap hari dan bukannya sekali setiap empat hari seperti yang dirancang awal, menurut kenyataan laporan.

    Kenaikan kes secara mendadak di Jepun menyebabkan sukan yang sudah ditunda itu berdepan lebih banyak masalah, dengan sejumlah acara percubaan ditunda, dibatalkan atau dipindahkan ke luar negara.

    Dalam pergolakan terbaharu, pertandingan kelayakan berenang artistik telah dipindahkan dari Jepun, kata penganjur dan penonton dilaporkan akan dilarang hadir di acara atletik di stadium utama Olimpik.

    Kelayakan berenang artistik pada awalnya ditetapkan untuk berlangsung di Tokyo pada bulan Mac sebelum dijadualkan semula pada 1 hingga 4 Mei, tetapi sekarang akan diadakan pada bulan Jun di lokasi yang akan ditentukan, di luar Jepun,” kata penganjur semalam. – AFP

    Logo Olimpik dinyalakan di tepi laut Odaiba di Tokyo pada 20 April lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda