Kes meningkat, China bina pusat kuarantin baharu

BEIJING, 15 JAN – Sebuah bandar di utara China telah membina sebuah kemudahan 3,000 unit kuarantin bagi menempatkan kemungkinan ramai pesakit ketika kes COVID-19 meningkat menjelang percutian Tahun Baharu bulan depan.

Media kerajaan hari ini menunjukkan kru-kru meratakan tanah, menuang konkrit dan menyusun bilik siap pasang di kawasan tanah ladang Shijiazhuang, bandar wilayah Hebei yang menyaksikan banyak kes jangkitan baharu.

Suruhanjaya Kesihatan Negara hari ini berkata 1,001 pesakit sedang menjalani rawatan, 26 daripadanya dalam keadaan serius.

Menurutnya, 144 kes baharu telah dicatatkan lebih 24 jam lalu. Hebei mencatatkan 90 kes baharu, sementara wilayah Heilongjing yang jauh ke utara melaporkan 43 kes.

Sembilan kes diimport dari luar negara, sementara jangkitan tempatan juga berlaku di selatan rantau Guangxi dan utara wilayah Shaanxi, menggambarkan keupayaan virus itu untuk bergerak ke seluruh negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk, meskipun kuarantin, sekatan perjalanan dan pemantauan elektronik.

Shijiazhuang telah dikenakan perintah berkurung, bersama bandar-bandar Hebei, Xingtai dan Langfang, sebahagian Beijing dan bandar lain di timur laut. – AP

Gambar yang bertarikh 14 Januari menunjukkan pusat pemantauan perubatan berpusat yang masih dalam pembinaan untuk menempatkan pesakit yang berisiko dijangkiti koronavirus di Shijiazhuang, wilayah Hebei, China. – AFP