Kes Musang King: Mahkamah tunggu laporan DNA

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Pihak pendakwaan pada ketika ini masih menunggu laporan analisis DNA berhubung kes yang melibatkan rantaian perniagaan dadah sekeluarga, yang dikenali ‘Musang King’.

Majistret Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar pada hari ini menangguhkan kes tersebut hingga 4 Oktober depan setelah melihat permohonan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Latiff.

Ahmad bin Haji Tamit dan isterinya, Maskunah binti Wahab bersama anak-anak mereka, Isamuddin, Mohammad Saifuddin dan Siti Izzatul Munirah serta suaminya Jakaria bin Ahad didakwa atas dua kesalahan di bawah

Seksyen 3A Akta Penyalahgunaan Dadah, Bab 27, yang membawa hukuman mati.
Tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methylamphetamine seberat 18.9943kg untuk diperdagangkan.

Dadah jenis Methylamphetamine dipercayai dijumpai di sekitar belakang sebuah rumah di Jalan Junjongan.

Dakwaan juga menyatakan bahawa mereka memiliki 532.44g dadah kelas A methylamphetamine dalam botol-botol, untuk dijual, yang turut dijumpai di sekitar kawasan sama.

Tertuduh-tertuduh tinggal berhampiran kawasan berdekatan.

Selain itu, Isamuddin menghadapi satu tuduhan berasingan secara individu kerana memiliki, untuk tujuan pemerdagangan, 54.1g methylamphetamine dalam beg plastik hitam di kawasan sebuah rumah di Jalan Junjongan.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara antara 20 dan 30 tahun berserta hukuman wajib 15 kali sebatan.

Siti Izzatul Munirah dan Jakaria juga didakwa kerana memiliki hasil jenayah yang bertentangan dengan Seksyen 3 Perintah Pemulihan Aset Jenayah, 2012 iaitu rumah yang dianggarkan bernilai $80,000 dan lebih daripada $100,000. Mereka juga dituduh menyembunyikan hak milik sebenar kenderaan dengan mendaftarkan kereta tersebut dengan nama pihak ketiga.

Siti Izzatul Munirah juga menghadapi tuduhan memiliki lebih 50 barang kemas emas yang didakwa merupakan hasil jenayah.

Peguam bela Pengiran Muhammad Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin mewakili semua tertuduh, kecuali Isamuddin yang diwakili oleh peguam bela Awang Daud Ismail.