LONDON, 21 DIS – Kes COVID-19 melibatkan varian Omicron di United Kingdom (UK) sudah mencecah 45,145, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan kelmarin.
Selain itu sebanyak 91,743 kes baharu COVID-19 turut dilaporkan, jumlah harian kedua tertinggi sejak pandemik melanda.
Daripada jumlah itu, 8,044 diuji positif Omicron manakala 44 orang lagi meninggal dunia akibat virus itu dalam tempoh 28 hari, lapor agensi Anadolu.
Perdana Menteri, Boris Johnson berkata kerajaan sedang memantau rapat keadaan dan “kemungkinan untuk mengambil beberapa langkah selanjutnya” sebelum Krismas.
“Kemungkinan akan mengambil tindakan selanjutnya untuk me-lindungi orang ramai dan kesihatan awam serta perkhidmatan kesihatan. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan itu,” katanya selepas mesyuarat kabinet.
Perancis dan Jerman sudah melarang semua ketibaan tidak penting dari UK susulan peningkatan kes Omicron, menyaksikan beribu-ribu penduduk tiada pilihan selain berada di UK ketika musim perayaan.
Kemungkinan lebih banyak negara anggota Kesatuan Eropah (EU) akan mengenakan sekatan baharu ke atas ketibaan dari UK. – Bernama