Kes pasangan kehakiman didengar lagi

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Kes pasangan bekas kehakiman, Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman dan suaminya, Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin sekali lagi didengarkan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Ramzidah pada Januari 2020 disabitkan dengan kesalahan pecah amanah, dan kedua-duanya juga didapati bersalah atas kesalahan pengubahan wang haram.

Pihak pendakwa raya yang diketuai oleh Dato Seri Setia Davinder Singh SC di hadapan Hakim Gareth Lugar-Mawson membuat permohonan perintah larangan di bawah Bab 49 (1) Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah ke atas harta-benda yang telah disita oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR) sepanjang siasatan dan juga yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan terhadap kedua-dua tertuduh.

Harta benda tersebut termasuk wang simpanan dalam bank-bank tempatan berhubung akaun milik kedua-dua tertuduh dan dua anak mereka, 19 buah kereta dan 456 barangan berjenama seperti jam tangan, beg tangan, aksesori dan kasut milik kedua-dua tertuduh.

Dalam perbicaraan yang didengar pada 2019, keterangan yang dikemukakan menunjukkan bahawa jumlah pendapatan keseluruhan tertuduh daripada sumber-sumber yang dapat disahkan yang tidak berkaitan dengan aktiviti jenayah antara 2003 dan 2017 adalah $2,185,232.36.

Pegawai penyiasat BMR yang menjalankan analisis kewangan memberi keterangan yang tidak dicabar bahawa nilai anggaran harta benda tersebut adalah lebih daripada $4,945,714.07.

Pihak pendakwaan, hari ini berhujah, jelas bahawa pendapatan sah kedua-dua tertuduh tidak dapat menyokong pembelian harta benda tersebut.

Tambahan lagi, kedua-dua tertuduh tidak mengemukakan apa-apa keterangan secara sah yang boleh menjelaskan kehidupan mewah mereka yang tidak setimpal dengan pendapatan mereka sejak siasatan bermula Januari 2018.

Dalam mencabar permohonan pihak pendakwa, tiga keterangan bersumpah telah dikemukakan bagi menyokong tertuduh.

Walau bagaimanapun, Dato Seri Setia Davinder Singh SC menekankan bahawa tidak ada sebarang bukti dalam keterangan itu yang menyatakan bahawa harta benda yang berkaitan dengan permohonan pendakwa raya adalah bersumberkan daripada sumbangan kewangan ahli-ahli keluarga.

Haji Nabil juga telah menyediakan keterangan bersumpah di mana dia bergantung pada keterangan berkanun yang dikemukakannya kepada BMR semasa siasatan.

Menurut pendakwaan, dokumen tersebut tidak memberikan penjelasan sepenuhnya mengenai sumber dana yang terdapat dalam akaun bank di bawah nama Haji Nabil.

QC Simon Farrell membantah permohonan yang dibuat oleh pendakwaan kerana harta benda tersebut telah disita oleh pihak penyiasat dan perintah larangan telah dikeluarkan kepada bank-bank untuk menyekat penggunaan dana di dalam akaun bank berkenaan.

Dalam hujah balas, Dato Seri Setia Davinder SC menyatakan bahawa perintah penyitaan dan larangan yang ada pada masa ini adalah berbeza daripada perintah larangan yang dikeluarkan mahkamah, dan memberikan perlindungan yang jauh lebih baik kepada pihak kerajaan kerana sebarang pelanggaran perintah berkenaan merupakan satu kesalahan jenayah.

QC Simon Farrell juga membantah permohonan terhadap beberapa akaun bank milik kedua-dua tertuduh dan dua anak mereka atas dasar bahawa wang dalam akaun tersebut adalah daripada gaji dan elaun mereka.

Pihak pendakwaan turut mengulangi apa yang dikatakan pegawai penyiasat BMR dalam keterangan bersumpahnya mengenai akaun bank berkenaan.

Siasatan kewangannya mendedahkan bahawa simpanan tunai dibuat ke dalam akaun tersebut, yang mana beberapa daripadanya dibuat beberapa hari selepas Ramzidah membuat pengeluaran jumlah besar dari akaun pe-nerima rasmi.

Ini menunjukkan bahawa wang telah bercampur dan justeru dikira sebagai harta yang tercemar di bawah undang-undang, dan dianggap sebagai hasil jenayah.

Permohonan kedua yang dibuat oleh pendakwaan adalah bagi kedua-dua tertuduh membayar kos pendakwaan seperti yang diperuntukkan di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan meminta Ramzidah membayar kos pendakwaan $1 juta dan Haji Nabil untuk membayar kos pendakwaan $500,000. Jumlah berkenaan merupakan 65 peratus daripada kos sebenar yang ditanggung oleh pendakwaan, yang terdiri daripada bayaran profesional penasihat asing dan bayaran-bayaran yang berkaitan dan juga kos yang ditanggung bagi siasatan terhadap kedua-dua tertuduh termasuk yuran simpanan dan penyelenggaraan dan perlindungan insurans untuk kenderaan yang disita daripada tertuduh.

QC Simon Farrell membantah permohonan pihak pendakwaan kerana kedua-dua anak guamnya tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membayar kos pendakwaan tambahan lagi kos yang dikenakan terhadap Haji Nabil adalah sangat tinggi padahal dia hanya disabitkan dengan enam tuduhan pengubahan wang haram.

Dato Seri Setia Davinder Singh SC mengingatkan mahkamah bahawa daripada $15.75 juta yang disalahgunakan oleh Ramzidah, $6 juta lagi masih belum dikesan.

Kedua-dua tertuduh tidak seharus-nya dibenarkan untuk mengatakan mereka tidak mempunyai kemampuan kewangan jika mereka tidak memberi maklumat mengenai kedudukan wang yang tidak diketahui itu.

Dato Seri Setia Davinder Singh SC berkata bahawa Haji Nabil terlibat dalam menikmati faedah daripada kesalahan pecah amanah yang dilakukan oleh isterinya, Ramzidah dan adalah tidak munasabah jika pihak pembelaan mencadangkan bahawa Ramzidah mengetahui kedudukan $6 juta itu dan langsung tidak memberitahu suaminya.

Katanya lagi, pihak kerajaan telah menanggung beban kos pendakwaan yang besar bagi membuktikan kesalahan kedua-dua tertuduh dan bagi memastikan keadilan dilakukan.

Kedua-dua tertuduh seharusnya bertanggungjawab ke atas beban kos ini, katanya.

Permohonan terakhir yang dibuat oleh pihak pendakwa adalah untuk pembatalan ke atas penggantungan yang telah diperintahkan ke atas kesalahan-kesalahan di bawah Bab 12 (1) (b) Akta Pencegahan Rasuah terhadap kedua-dua tertuduh bagi pemilikan harta yang tidak setimpal dengan pendapatan mereka.

Penangguhan ini telah diperintahkan oleh Hakim Lugar-Mawson pada Oktober 2019 selepas pihak pendakwa raya menutup kes mereka.

Pihak pembelaan membantah permohonan berkenaan atas sebab ia sepatutnya didengarkan di hadapan Mahkamah Rayuan selepas rayuan terhadap sabitan kedua-dua tertuduh diputuskan.

Hakim Gareth Lugar-Mawson akan menyampaikan keputusannya bagi tiga permohonan yang dibuat oleh pihak pendakwa pada esok, 27 Februari 2020.

Pihak Pendakwaraya terdiri daripada Hajah Suriana binti Haji Radin, Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latiff dan Muhammad Qamarul Affyian bin Abdul Rahman, dan juga Navin Thevar dari Davinder Singh Chambers LLC, Singapura.

Kedua-dua tertuduh diwakili QC Simon Farrell dan Sheikh Noordin Sheikh Mohammad.