Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes pecah amanah ditangguhkan

    Oleh Rafidah Jumat

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Mahkamah Majistret membenarkan penangguhan selama sebulan bagi kes yang melibatkan dua pegawai kanan kehakiman yang sebelum ini didakwa atas 152 pertuduhan membabitkan pecah amanah, penggubahan wang haram dan pemilikan harta tanpa penjelasan.

    Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain membenarkan kes Ramzidah binti Pehin Datu Kesuma Diraja Kol (B) Haji Abdul Rahman dan Haji Nabil Daraina bin Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin ditangguhkan selepas pihak pendakwaan membuat permohonan penangguhan supaya siasatan lanjut dapat dijalankan, berhubung dengan dokumen-dokumen bank yang baru diterima dan memerlukan analisis lanjut.

    Dalam sebutan hari ini, pihak pendakwaan yang terdiri daripada Timbalan pendakwa raya, Aldila binti Haji Mohd Salleh, Emily Goh dan Siti Nurjauinah binti Haji Kula memaklumkan mahkamah mengenai perkembangan siasatan terhadap dua tertuduh, termasuk mengambil keterangan daripada kakitangan bank dan peguam yang mengendalikan kes penghutang.

    Pihak pendakwaan turut memaklumkan mahkamah yang kemungkinan mereka akan menambah beberapa pertuduhan ke atas tertuduh, yang mana sebelum ini mereka telahpun mengemukakan 146 tuduhan berhubung dengan 41 akaun timbalan penerima rasmi dalam sebutan minggu lalu.

    Pihak pendakwaan juga memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh menolak untuk memberikan keterangan lebih lanjut kepada Biro Mencegah Rasuah walaupun undang-undang memerlukan mereka berbuat demikian di bawah peruntukan Akta Pencegahan Rasuah, Bab 131 dan Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012.

    Peguam Haji Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman dan peguam baru yang dilantik, Sheikh Noordin bin Sheik Mohammad dalam hujah balas memaklumkan mahkamah yang anak guam mereka telahpun didakwa di mahkamah, dan mereka mempunyai hak untuk tidak membuat sebarang keterangan yang difikirkan tidak perlu.

    Kes akan disebut semula pada 3 September depan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda