Kes pembubaran DUN Sabah mula didengar

KOTA KINABALU, 17 OGOS – Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mula mendengar untuk menentukan sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lepas, boleh diadili, iaitu boleh dibicarakan di mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim akan menentukan perkara tersebut berikutan terdapat permohonan semakan kehakiman mengenai pembubaran DUN Sabah.

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli DUN membuat permohonan mendapat kebenaran untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin membubarkan DUN.

Mereka menamakan Tun Juhar sebagai responden pertama, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden ketiga dan kerajaan Sabah,  responden keempat.

Peguam Besar Negeri Sabah Brenndon Keith Soh yang mewakili Yang Dipertua Negeri, Ketua Menteri dan kerajaan negeri tiba di mahkamah pukul 8:30 pagi dan disusuli 10 minit kemudian oleh Tengku Fuad Tengku Ahmad, peguam yang mewakili Musa dan 32 ADUN. – Bernama