Kes pertama koronavirus dikesan di washington

WASHINGTON, 22 JAN – Kes pertama koronavirus dikesan di Washington, Amerika Syarikat (AS), menurut agensi kesihatan negara itu kelmarin, lapor agensi berita Anadolu.

Pesakit lelaki yang dijangkiti itu dari daerah Snohomish, kini dirawat di Pusat Perubatan Wilayah Providence di Everett. Lelaki itu kembali pada 15 Jan dari Wuhan, China, tempat wabak itu mula menular.

Pesakit dalam usia lingkungan 30an mengalami beberapa gejala dan didiagnosis dengan penyakit radang paru-paru, minggu lalu. Pada Isnin beliau disahkan dijangkiti koronavirus baharu.

CNN dan New York Times pertama kali melaporkan kes itu.

“Walaupun awalnya anggapan bahawa wabak menular daripada haiwan kepada manusia, terdapat tanda-tanda jelas ia boleh merebak antara manusia kepada manusia,” kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dalam satu kenyataan. “Namun masih tidak jelas berapa cepat virus itu boleh merebak.”

Gambar menunjukkan Pusat Perubatan Wilayah Providence, Everett, di mana seorang lelaki dengan kes pertama koronavirus di Amerika Syarikat sedang dirawat. – AP

Juga dikenali sebagai 2019-nCoV, koronavirus itu menyebabkan gejala-gejala seperti penyakit radang paru-paru, mula dikesan pada Disember di Wuhan, China.

Gejala itu termasuk demam, batuk dan sukar bernafas.

CDC berkata ia bekerjasama rapat dengan Washington dan rakan kongsi tempatan serta menghantar satu pasukan untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Pada Jumaat, agensi itu mula menjalankan saringan kesihatan terhadap pelancong dari Wuhan, di lapangan terbang San Francisco, New York dan Los Angeles.

Minggu ini, saringan kesihatan turut dijalankan di lapangan terbang Atlanta dan Chicago.

Sekurang-kurangnya enam orang maut dan hampir 300 kes dilaporkan di China bulan ini. Di luar China, virus itu turut menjejaskan penduduk di Taiwan, Jepun dan Korea Selatan. – Bernama