Kes positif COVID-19 di Indonesia kini 172,053

JAKARTA, 30 OGOS – Indonesia mencatatkan 2,858 kes positif baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan kes keseluruhan di republik itu berjumlah 172,053 kes setakat ini.

Berdasarkan data yang dimuat naik di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 82 lagi kematian dicatatkan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini 7,343 orang.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah hari ini itu juga, provinsi Jakarta mencatatkan kes positif baharu tertinggi iaitu 1,094 kes dengan sembilan lagi kematian.

Provinsi Jakarta kini mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 39,037 kes, diikuti Jawa Timur (33,220) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,349 orang, diikuti Jakarta (1,183), Jawa Tengah (990), Sulawesi Selatan (360) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia. – Bernama