Kes positif COVID-19 di Sarawak terus menurun

KUCHING, 16 NOV – Jumlah kes baharu positif COVID-19 di Sarawak terus menurun apabila 266 dilapor hari ini berbanding 287 kes yang direkodkan semalam. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan 13 daripada kes baharu itu mengalami jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan pernafasan, manakala 253 kes adalah mereka yang bergejala ringan dan tidak bergejala.

Sebanyak empat kes kematian baharu dilaporkan antara 7 dan 14 Nov melibatkan mereka yang berusia 32 hingga 86 tahun serta mempunyai latar belakang penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan asma.

Kenyataan itu turut memaklumkan tiada kluster baharu dilaporkan hari ini, sekali gus menyaksikan jumlah kluster aktif kekal 10 setakat ini. – Bernama