Kes positif COVID-19 meningkat 144,945 di Indonesia

JAKARTA, 19 OGOS – Kes positif COVID-19 di Indonesia berterusan meningkat kepada 144,945 kes, manakala 79,174 lagi pesakit masih dalam pemantauan.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 1,902 kes baharu disahkan dalam tempoh 24 jam di republik itu. Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 69 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kini meningkat kepada 6,346 orang.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 31,016 kes, diikuti Jawa Timur (28,886) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,074 orang, diikuti Jakarta (1,032), Jawa Tengah (809), Sulawesi Selatan (347) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia. – Bernama