Kes positif di Labuan catat trend turun naik

LABUAN, 18 NOV – Selepas berjaya memerangi wabak COVID-19, pulau bebas cukai di sini kini mengalami trend turun naik dalam kes baharu yang dilaporkan.

Ini berikutan sikap masyarakat yang lalai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Labuan merekodkan sifar dan satu angka kes positif harian pada tiga bulan lepas, namun angkanya berubah-ubah sejak awal bulan ini.

Dr Ismuni berkata Labuan mencatatkan 25 kes pada 11 Nov kemudian menurun kepada lapan kes keesokannya, meningkat semula ke 17 kes pada 14 Nov dan turun menjadi empat kes pada 16 Nov sebelum melonjak kepada 28 kes semalam (17 Nov).

“Kebanyakan kes disumbangkan oleh orang yang keluar masuk Labuan dan menghadiri perhimpunan sosial di Labuan dan tanah besar Sabah, tanpa mengambil langkah keselamatan,” katanya kepada Bernama hari ini. 

Beliau berkata kakitangan penjagaan kesihatan masih menjalankan tugas mereka dan meneruskan penilaian risiko bagi se-tiap kes yang direkodkan. – Bernama