Kes positif Limbang-Brunei: 12 kontak sudah swab

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohmmad Isham bin Haji Jaafar memaklumkan bahawa kes positif pelawat dari Limbang masih dalam siasatan dan setakat ini, Kementerian Kesihatan ada menerima dalam 12 orang lagi kontak dengan kesemua mereka semua sudah menjalani swab dan didapati negatif.

Yang Berhormat Dato juga menjelaskan bahawa perkongsian maklumat ada dibuat, yang mana pihak kerajaan Malaysia menghantar maklumat yang lebih awal yang membolehkan pihaknya membuat penyiasatan lebih lanjut.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan perkara tersebut semasa sesi soal jawab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Selain itu, Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa baru-baru ini, mereka ada mengadakan mesyuarat ASEAN berkaitan dengan COVID-19 bersama menteri-menteri kesihatan ASEAN dan ASEAN+3, ASEAN bersama Amerika Syarikat serta WHO Regional Meeting.

“Di kesemua mesyuarat itu, perkara yang penting ialah perpaduan antara negara-negara yang terbabit dengan satu tujuan iaitu untuk mengawal penyakit COVID-19, dan perkongsian maklumat juga diadakan semasa mesyuarat tersebut,” jelas beliau.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan bahawa dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut, mereka juga mementingkan perdagangan yang mana ia mesti kekal dijalankan terutama dalam rantaian bekalan perubatan dan peralatan.

“Buat masa ini, Alhamdulillah kita mempunyai kerjasama yang baik bersama rakan kongsi kita dalam Asia. Setakat ini ia berjalan dengan baik,” jelasnya.