Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kes rabies dikesan di Kuala Sepetang, Taiping

    PUTRAJAYA, 16 Julai – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini melaksanakan pemvaksinan anjing-anjing bertuan di Kuala Sepetang, Taiping, Perak susulan kes rabies atau penyakit anjing gila dikesan di kawasan itu.

    Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang kerana kawasan jangkitan adalah terhad kepada satu kampung sahaja dengan aktiviti pemvaksinan dilaksanakan dalam lingkungan 1km radius daripada kes tersebut dikesan.

    Menurutnya kes itu dikesan apabila seorang pemilik anjing membuat laporan pada 13 Julai lepas (Khamis) bahawa anjing miliknya telah mati selepas lapan hari menggigit anak perempuan dan anak saudaranya.

    “Selepas lima hari menggigit mangsa, anjing tersebut didapati menunjukkan tanda klinikal seperti tiada selera makan dan mengasingkan diri. Seterusnya muntah, demam serta mengalami kekejangan di kaki hadapan dan belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) kemudiannya mengesahkan sampel otak anjing tersebut positif virus Rabies melalui ujian yang dijalankan semalam (15 Julai).

    Dr Quaza Nizamuddin berkata kedua-dua mangsa gigitan anjing tersebut telah dibawa ke Pusat Kesihatan Kuala Sepetang untuk cucian luka dan suntikan tetanus.

    “Kedua-dua mangsa telah dimasukkan ke Hospital Taiping dan masih berada di hospital untuk menunggu pengesahan bagi memulakan suntikan vaksin,” katanya. Beliau berkata jangkitan Rabies pada anjing tersebut berkemungkinan adalah melalui gigitan “rabid dog” yang dibawa di dalam bot oleh warga asing dari negara-negara jiran memandangkan Kuala Sepetang merupakan kawasan pelabuhan pendaratan ikan.

    “Ini adalah kes terpencil dan tiada kaitan dengan kes Rabies di Sarawak,” katanya.

    Selain pemvaksinan anjing bertuan, Dr Quaza Nizamuddin berkata DVS turut melaksanakan kerja-kerja memusnahkan anjing yang menunjukkan tanda klinikal penyakit dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mengambil sampel daripada kepala anjing.

    Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menjauhkan diri daripada anjing liar bagi mengelak digigit. “Jika digigit, basuh luka dengan air dan sabun secepat mungkin. Selepas itu terus ke klinik atau hospital untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda