Kes rasuah penjawat awam Sabah turun 87%

KOTA KINABALU, 9 DIS – Kes rasuah melibatkan penjawat awam di Sabah menurun 87 peratus dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini berikutan usaha bersepadu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan negeri membanteras gejala itu.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata penurunan ketara itu memperlihatkan tahap kesedaran penjawat awam terhadap kesalahan rasuah dan tanggungjawab bersama dalam memerangi jenayah tersebut semakin meningkat.

Statistik SPRM menunjukkan sehingga Ogos tahun ini hanya enam kertas siasatan dibuka berbanding sembilan kes pada tahun lepas, selain 11 kes (2019) dan 47 kes (2018).

“Hal ini turut mencerminkan kesungguhan dan kesediaan rakyat Sabah bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa peringkat negeri di Menara Kinabalu di sini, hari ini. – Bernama

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor ketika menyampaikan ucapan amanat pada majlis Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2021 peringkat negeri Sabah hari ini.